Ucapan Menteri Pendidikan

Assalamulaikum w.b.t. dan Salam 1Malaysia.

Tahniah saya ucapkan kepada warga Kementerian Pendidikan atas kejayaan menganjurkan PABM edisi ke-8 ini bersama- sama yang tutut disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Usaha mendaulatkan Bahasa Melayu di segenap lapangan merupakan tindakan murni yang bukan sahaja menepati semangat undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembangan Persekutuan yang memperuntukan kedudukan istimewa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di dalam perkara 152.

Usaha ini harus dilihat sebagai satu jihad untuk menguat dan mengekalkan identiti serta jati diri bangsa dan negara Malaysia. Selaku entiti yang memperjuangkan bahasa kebangsaan ini, Kementerian Pendidikan sentiasa memperkukuhkan iltizam terhadap kualiti dan produktiviti bagi membina sebuah negara bangsa yang maju berasaskan bahasa Melayu.

Saya yakin dan percaya penganjuran PABM hasil cetusan idea YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak ini mampu membawa bahasa Melayu ke pentas antarabangsa. Sebagai bukti, berselang lapan tahun penganjurannya, hampir separuh daripada negara peserta telah menganjurkan pertandingan ini di negara masing-masing bagi memilih peserta terbaik menyertai PABM.

Usaha dan gerakan massa yang dilakukan melalui pentas PABM untuk mendaulatkan bahasa Melayu perlu digiatkan dan wajar mendapat perhatian semua pihak.

Justeru, pertandingan pidato ini merupakan satu langkah yang amat tepat ke arah mencapai matlamat mengantarabagsakan bahasa Melayu serta meletakkannya di landasan yang betul di persada dunia. Usaha ini tidak seharusnya terhenti di sini, akan tetapi harus diterus dan ditingkatkan agar hasrat melahirkan masyarakat berbahasa Melayu yang mampu menyumbang kepada pembentukan peradaban dapat direalisasikan.

Adalah menjadi harapan kita agar pertandingan ini akan menjadi medan pertemuan intelektual serta budaya yang mampu menyatukan fikrah generasi muda dari pelbagai latar negara, budaya, agama dan bangsa agar menjadi generasi yang lebih toleran dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Kepada semua peserta, saya mengucapkan selamat bertanding.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Menteri Pendidikan