Program Inap Desa

Bermula tahun 2010, YAB Perdana Menteri telah mencadangkan agar semua para peserta PABM ini dibawa menikmati program inap desa atau homestay sebagai salah satu cara mendedahkan mereka dengan budaya dan toleransi rakyat Malaysia yang harmoni dan berbilang kaum.

Menerusi program inap desa atau homestay ini , 75 peserta dari 70 buah negara ini berpeluang mengenali lebih dekat budaya dan cara hidup masyarakat Melayu. Oleh itu, ia secara tidak langsung akan meningkatkan kefahaman mereka terhadap budaya masyarakat Melayu yang selama ini hanya diketahui melalui pembacaan dan media elektronik di negara masing-masing.

Keseluruhan program menjadi lebih berkesan kerana peserta dapat merasai sendiri pengalaman hidup bersama keluarga Melayu. Pengalaman ini mampu memperkayakan pengetahuan peserta tentang budaya hidup masyarakat Melayu terutama dalam aspek kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, budaya dan ekonomi.

Antara aktiviti yang telah disusun untuk para peserta sepanjang program inap desa ini adalah lawatan ke ladang sawit dan kilang sawit, ladang getah dan kolam menternak ikan; menyaksikan demonstrasi kraftangan, mencanting batik, membuat kuih tradisional Melayu, ketupat dan lemang.

Para peserta juga akan diperkenalkan dan mencuba permainan tradisional Melayu seperti gasing, congkak, batu seremban, sepak raga bulat, konda-kondi dan guli. Ternyata kesannya lebih besar dan bermanfaat daripada sekadar membawa mereka melawat kawasan bandar raya yang mana mereka telah biasa melihat 'hutan batu' di negara masing-masing.

Para peserta akan melalui pengalaman bercampur iaitu merasai kehidupan di kota besar Kuala Lumpur dan kawasan kampung di luar bandar khususnya kawasan perkampungan yang masih mengekalkan adat resam dan budaya Melayu. Ia juga dapat memberikan peluang secara langsung kepada para peserta ini melihat sendiri bagaimana amalan budaya dan adat resam itu terus kekal subur walaupun negara telah jauh melangkah maju dalam arus globalisasi.