Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu

PENGENALAN

Bertemakan “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu”, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri @ PABM adalah satu acara tahunan pidato Bahasa Melayu yang terulung yang bermatlamat untuk memartabatkan citra dan kedaulatan bahasa Melayu di persada dunia.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah bertindak sebagai Penaung dan akan hadir sebagai Perasmi Malam Kemuncak pertandingan ini pada setiap tahun. Program ini adalah hasil idea dan inovasi YAB Perdana Menteri sendiri untuk memperkasa bahasa Melayu di persada antarabangsa. Malam Kemuncak PABM disiarkan secara langsung di TV1, RTM dan melalui internet ke seluruh dunia di laman sesawang PABM ini.


OBJEKTIF PERTANDINGAN

PABM diideakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. PABM antara lain bertujuan memperkukuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Bermotifkan melahirkan rasa bangga dan yakin rakyat Malaysia terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang telah menyerantau ke seluruh pelosok dunia. Penyertaan kali ini memperlihatkan wakil negara yang mengambil bahagian telah meliputi semua enam benua.

Berbekalkan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan diperteguhkan melalui wadah 1Malaysia, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan dapat diperkukuhkan dan rantaian jalinan hubungan antara kaum dapat diperkukuhkan melalui aspek bahasa.

Secara sinikalnya, impak kejayaan PABM dapat dirangkumkan dalam empat konteks; impak dalam pembangunan sektor pengajian tinggi; kesedaran kepada kepentingan pendidikan bahasa Melayu; peningkatan ekonomi dan pengantarabangsaan; serta kejayaan PABM dari kaca mata golongan belia.


PENGANJUR

PABM dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Kementerian Pelancongan manakala AG Bestari Events Sdn Bhd dilantik selaku pengurus acara dan bertindak sebagai Sekretariat PABM. Kabinet Malaysia dalam mesyuaratnya pada tahun 2008 telah bersetuju untuk memberikan penarafan “Projek Nasional” kepada PABM bersesuaian dengan prestijnya sebagai satu-satunya acara pidato bahasa Melayu yang terulung di dunia.


PENAUNG DAN PERASMI

YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia bertindak sebagai Penaung PABM serta akan hadir sebagai Perasmi Malam Kemuncak PABM pada setiap tahun.


VENUE PROGRAM

Venue pertandingan PABM diadakan adalah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Acara saringan dan separuh akhir akan berlangsung di Dewan 6 manakala Malam Kemuncak akan diadakan di Dewan Plenari, PICC . Sepanjang program ini berjalan, peserta akan menginap di Hotel Residence @ UNITEN di Bangi, Selangor Darul Ehsan.