Kata alu-aluan YAB Perdana Menteri

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan rahmat dan rahim-Nya kita berjaya menganjurkan edisi ke-10 PABM. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi serta semua pihak yang telah bersama-sama berganding bahu dan bersatu hati bagi menjayakan pertandingan peringkat antarabangsa ini.

Berselang satu dekad, PABM terbukti telah berjaya membelah enam benua, menyerantau ke segenap penjuru dunia serta merentasi sempadan budaya.

Meskipun bahasa Melayu memiliki keunikan dan daya tahan tersendiri sejak zaman-berzaman dan menjadi simbol bahasa komunikasi di rantau ini, namun, pembangunan teknologi telah mencabar kebitaraan Melayu sebagai bahasa teras di bumi nusantara.

Justeru, ia menuntut kesediaan kita untuk mengadaptasi, mengasimilasi dan menyeragamkan perubahan tersebut mengikut kepentingan semasa. Proses pembentukan peradaban adalah sesuatu yang normal kepada semua bahasa, malah dari satu sudut pandang, proses peradaban sebenarnya yang telah menyelamatkan bahasa dan menjadikan bahasa itu terus diterimapakai dalam konteks ketamadunan sesebuah bangsa; membentuk dominasi ke arah dinamisma sebuah bangsa yang terampil dan tersohor.

Secara prakmatiknya, situasi ini merupakan sesuatu yang menarik dalam peradaban bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa Melayu dilihat ampuh dan bersiap siaga untuk meletakkan kedudukannya dalam era teknologi maklumat dan komunikasi tanpa sempadan. Ini merupakan satu kemenangan yang cukup membanggakan yang tidak mungkin mampu dikecapi oleh semua bahasa di dunia ini.

Kita juga harus menjadikan globalisasi serta liberalisasi sebagai satu peluang kepada masyarakat untuk memanipulasi teknologi maklumat dan komunikasi untuk memastikan bahasa Melayu terus kekal relevan. Segenap ruang yang ada harus disentuh dan setiap idea perlu diperkasa agar bahasa Melayu terus kekal terampil dan dinamik.

Masyarakat berbahasa Melayu juga perlu mencari jalan untuk menambah nilai bahasa di pasaran dunia. Ia merupakan satu tugas berat kepada masyarakat dan pengiat bahasa Melayu mencari jalan, kaedah dan hipotesis bagi meningkatkan nilai bahasa itu di persada dunia, menggunakan teknologi dan kecanggihan komunikasi untuk memperkasa dan mengantarabangsa Bahasa Melayu. Apatah lagi nilai dan harga bahasa turut bergantung kepada sejauh mana masyarakat penuturnya membuat ‘pelaburan’ sewajarnya demi kemajuan bahasa tersebut.

Dalam konteks ini juga, penutur bahasa Melayu wajar melihat teknologi maklumat dan komunikasi sebagai aset serta bekalan untuk menghasilkan identiti bangsa yang tulen lagi sejati.

Pertandingan pidato ini adalah satu gerakan yang amat tepat dalam memanipulasi kemajuan teknologi bagi mencapai objektif mengantarabangsa bahasa Melayu. Usaha ini tidak harus terhenti di sini tetapi harus dilipatgandakan agar bahasa ini dapat membina masyarakat yang mampu mengunakan kecanggihan alam siber dalam menyalurkan idea pembentukan tamadun yang berjaya.

Harapan saya, PABM akan terus menjadi pentas yang penting dalam mencungkil kebolehan dan kemahiran penutur bukan Melayu berpuitis serta bermain bahasa dalam melontar idea pemikiran yang kritis bersulamkan budaya Melayu.

Saya juga berdoa agar PABM akan kekal sebagai satu pertandingan berprestij serta menjadi tumpuan utama di peringkat dunia dalam mempopularkan lagi bahasa Melayu.

Sekian.

DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
Perdana Menteri Malaysia