ETOS

Sejarah peradaban bangsa dan manusia memperlihatkan betapa kekuatan sebuah tamadun dan kelangsungan tamadun itu amat berkait rapat dengan keupayaan bahasanya. Kekuatan dan kelangsungan yang serupa juga terpancar dalam sejarah kebudayaan dan perkembangan bahasa Melayu. Kekuatan dan fundamental yang dominan demikian juga patut terus dimiliki oleh bahasa Melayu, khususnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia, dan juga sebagai bahasa yang diaspirasikan untuk menjadi salah satu bahasa yang semakin terserlah penggunaannya dalam acara signifikan pada peringkat dunia, terutamanya dalam wacana dan arena politik antarabangsa – misalnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Rasionalnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk lebih menyerlahkan kewujudan umat Melayu dari suatu rantau rumpun bangsa serta negara yang bernama Malaysia.

Tentu saja boleh dipersoalkan – apakah yang penting sangat dengan menaikkan taraf dan status bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa antarabangsa yang seganding dengan bahsa Inggeris, Perancis, Jerman, Mandarin dan Arab dalam acara-acara utama bertaraf antarabangsa seperti persidangan Pertubuhan Negara-negara Tenggara (ASEAN), PBB dan sebagainya? Jawapannya mudah saja, bahasa tidak harus dilihat sebagai bahasa per se, bagaimanapun, ia harus dilihat dalam hubung kaitnya dengan politik bahasa dan politik budaya. Memanglah suatu bangsa itu akan lebih mudah dikenali dan dihormati kalau bangsa dan negara itu serba maju sari segi ekonomi, sains dan teknologi atau pendidikan warganya. Walau bagaimanapun, bahasa dan persuratan merupakan elemen dominan dalam perkembangan dan permerkasan bangsa dan negara bangsa.

Tentu sahaja kita boleh berbangga dengan pencapaian yang kita kecapi dalam perancangan bahasa Melayu, yakni yang melibatkan perancangan taraf dan perancangan korpus bahasa di negara kita – kita sesungguhnya sudah menciptakan kejayaan yang cemerlang, kendatipun usaha pembinaan perlaksanaan dan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negra baharu sahaja mencecah usia 50 tahun ketimbangan bahasa Inggeris yang sudah bertapak sejak sekian lama sebagai bahasa perhubungan antarabangsa.

Di Malaysia, apa saja hal yang berkaitan dengan soal intergriti, status dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara harus dilihat dalam konteks kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh semua kaum di negara ini suatu ikrar setia sejak awal lagi sebelum merdeka dan terlepas daripada belenggu penjajahan Inggeris. Tentu amat wajar semua rakyat Malaysia yang dikanunkan dalam perlembagaan negara sebagai suatu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kita perlu bangga dan megah sebagai bangsa Malaysia yang memiliki suatu bahasa yang kuat dan ternama.

Program pengantarabangaan bahasa Melayu mengikut kemampuan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam tempoh menjelang 2020 akan mencakupi usaha pemasaran bahasa dan penyebaran maklumat bahasa persuratan Melayu ke seluruh dunia pada dua peringkat, iaitu peringkat Institusi Pengajian Tinggi di kawasan Asia Tenggara (dalam lingkungan Negara-negara ASEAN) dan peringkat Pusat Pengajian Bahasa dan Persuratan Melayu antarabangsa yang lain.

Dalam hubungan ini, kita harus melihat potensi bahasa dan persuratan Melayu berkembang sebagai ilmu yang diajarkan dan dipelajari di pusat-pusat pengajian tinggi dan kajian di pusat-pusat penyelidikan dan pendokumentasian yang utama diseluruh dunia, bukan sekadar kepentingan akademik semata-mata. Rantau berbahasa Melayu harus bersiap siaga menyediakan bantuan dalam apa jua bentuk sumber kepakaran, penyelidikan, kepakaran, dorongan kepada tenaga pensyarah dan pelajar antara Malaysia dengan pihak-pihak di luar negara itu, pertukaran maklumat bahasa, sastera, seni dan budaya Melayu dapat dilakukan melalui talian Internet di peringkat antarabangsa.

Sumber:
Dato’ Haji Aziz Deraman, Pengantarabangsan Bahasa Melayu,
Dewan Bahasa dan Pustaka & Persatuan Linguistik Malaysia, 2004