Berita Terkini

Sejarah peradaban bangsa dan manusia memperlihatkan betapa kekuatan sebuah tamadun dan kelangsungan tamadun itu amat berkait rapat dengan keupayaan bahasanya. Kekuatan dan kelangsungan yang serupa juga terpancar dalam sejarah kebudayaan dan perkembangan bahasa Melayu. Kekuatan dan fundamental yang dominan demikian juga patut terus dimiliki oleh bahasa Melayu, khususnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia,

Melihat anak-anak muda warga asing berpidato secara petah dan fasih dalam Bahasa Melayu, membuatkan perasaan Awang terharu, Pertama kerana kebolehan mereka yang mencuri perhatian dan kedua, keyakinan yang ditunjukkan terhadap Bahasa Melayu. Sebab itu, Awang tidak merasa jemu menyaksikan aksi 56 peserta dari 51 negara yang menyertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2010 yang berakhir kelmarin. Kebanyakan peserta adalah dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur.

Penganjuran PABM menunjukkan kejayaan negara untuk memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Ia membolehkan negara di luar Nusantara mengenali serta mempelajari bahasa yang sering digunakan oleh negara di Asia Tenggara.

Pendedahan melalui pertandingan itu secara tidak langsung dapat menarik minat bangsa lain untuk lebih mendalami keunikan dan keindahan bahasa Melayu berserta budaya yang penuh dengan kesopanan. Bagi memastikan matlamat itu dicapai, rakyat Malaysia sebagai penutur bahasa Melayu asli di rantau ini perlu bekerjasama dalam meningkatkan usaha memperkasakan penggunaan dan penguasaan bahasa ibunda terlebih dahulu.